APAKAH MAKSUDNYA APABILA SAYA DIDIAGNOSIS DENGAN KANSER PAYUDARA METASTATIK?
Apabila anda didiagnosis dengan kanser payudara metastatik , bukanlah bermaksud rawatan awal anda tidak berkesan atau ia terjadi disebabkan gaya hidup anda. Kanser payudara boleh berulang di bahagian badan yang lain beberapa bulan atau tahun selepas diagnosis dan rawatan awal. Hampir 30% wanita yang didiagnosis dengan kanser payudara peringkat awal akan menghidap kanser metastatik .
APAKAH UJIAN-UJIAN YANG PERLU SAYA AMBIL UNTUK MENGESAHKAN DIAGNOSIS DAN MENGETAHUI PERINGKAT KANSER SAYA?
Pertama sekali, pakar onkologi anda akan mendapatkan sebanyak mungkin maklumat mengenai kanser anda – apakah jenis kanser payudara metastatik itu dan di mana ia telah merebak di dalam badan. Ini akan membantu pakar onkologi anda menentukan pelan rawatan terbaik untuk anda .
Jenis-jenis ujian yang mungkin anda jalani ialah:
Ujian makmal – ini ialah ujian darah, air kencing atau cecair badan yang lain.
Prosedur pengimejan – terdapat pelbagai prosedur pengimejan yang dapat membantu mengesan lokasi dan saiz tumor. Contoh-contoh prosedur ini ialah imbasan CT dan imbasan MRI.
Biopsi – prosedur ini melibatkan pengambilan sampel tisu daripada tumor anda untuk menguji penanda genetik yang terdapat pada sel tumor.
Ujian yang dijalankan mungkin berbeza mengikut individu, dan ia bergantung pada tanda-tanda dan symptom anda serta saranan oleh pakar onkologi.
Ujian dan imbasan yang digunakan untuk mendiagnosis kanser payudara anda mungkin akan diulang sepanjang rawatan berlansung. Ini akan membantu untuk menilai sekiranya
- anda memberikan tindak balas yang baik terhadap rawatan anda contohnya, tumor mengecut
- penyakit anda stabil (tumor tidak membesar atau mengecut),
- anda tidak bertindak balas apabila tumor kembali membesar.
APAKAH JENIS-JENIS KANSER PAYUDARA?
Kewujudan (atau ketiadaan) penanda genetik tertentu pada sel-sel kanser payudara anda akan menentukan jenis kanser payudara yang anda hidapi. Dua jenis penanda utama ialah reseptor faktor pertumbuhan epidermis manusia 2 (Human Epidermal Growth Factor Receptor 2, HER2) dan reseptor hormon (Hormone Receptor, HR). Dua reseptor hormon yang penting dalam kanser payudara ialah reseptor estrogen (Estrogen Receptor, ER) dan reseptor progesteron (Progesterone Receptor, PR).
Dengan mengetahui kombinasi penanda genetik yang anda miliki, ini dapat membantu pakar onkologi anda memilih rawatan yang sesuai untuk anda.
Terdapat empat jenis kanser payudara yang utama :
HR-POSITIF, HER2-NEGATIF
Ini merupakan jenis kanser payudara yang paling kerap dihidapi kira-kira dua pertiga pesakit.
HR-NEGATIF, HER2-POSITIF
Reseptor faktor pertumbuhan epidermis manusia 2 (HER2) boleh didapati di dalam membran sel. HER2 yang diaktifkan akan menyebabkan pertumbuhan dan pembahagian sel kanser payudara. Apabila terdapat lebih daripada 2 salinan gen HER2 dalam sel-sel kanser payudara, ia akan menghasilkan terlalu banyak reseptor HER2. Akibatnya, sel kanser payudara akan berkembang dan membahagi dengan cepat. Kanser ini dipanggil HER2-positif.
HR-POSITIF, HER2-POSITIF
Ini merupakan jenis kanser yang mempunyai reseptor HER2 dan juga reseptor hormon.
HR-NEGATIF, HER2-NEGATIF (JUGA DIPANGGIL TRIPLE NEGATIVE )
Kanser ini tidak mempunyai reseptor HER2 atau reseptor hormon estrogen dan progesteron. 10–20% kanser payudara ialah triple negative.
Pakar onkologi anda mungkin ingin menguji semula sel-sel kanser anda untuk menentukan status HER2 dan reseptor hormon kerana paras reseptor ini sering berubah apabila kanser payudara anda berulang.